Sunday, September 6, 2009

HIDAYAH












HIDAYAH













Kata penulis
Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.Segala puji bagi Allah Tuhan yang mentadbirkan sekalian alam. Selawat dan salam buat nabi junjungan Muhammad s.a.w. dan seluruh keturunannya sebagaimana Allah telah membantu Nabi Ibrahim dan keturunannya.
Ku panjatkan ribuan syukur terhadap Allah yang telah mengenalkan aku kepadaNya. Tanpa Dia pasti sahaja aku akan tersesat dan tidak dapat merasai nikmat hidup di dunia seterusnya kebahagiaan di akhirat.
Apa yang aku tulis dalam buku ini merupakan jalan atau cara Allah telah mengenalkan aku kepadaNya. Semua yang aku lakukan ini adalah semata-mata agar kamu juga akan dapat menikmati apa yang yang telah aku lalui dalam perjalanan menuju Allah.
Adalah besar harapanku untuk melihat seluruh manusia dan jin beriman kepada Allah dan mengamalkan Islam. Seterusnya membuktikan bahawa Islam adalah cara hidup yang menyeronokkan dan memastikan bahawa bumi ini akan aman di bawah pentadbiran manusia yang dilantik sebagai khalifah.
Apa yang tertulis di dalam buku ini merupakan terjemahan terus ayat-ayat al-Quran yang ditulis tanpa sebarang penambahan atau pengurangan dari segi kata-kata. Buku ini berbeza daripada al-Quran terjemahan lain adalah dari segi susunan surah-surahnya dan di sini juga tidak disertakan ayat-ayat al-Quran (bahasa Arab) bersamanya.
Pesanan saya sebelum kamu membaca buku ini ialah bacalah setiap perkataan yang tertulis tanpa meninggalkan walau sepatah pun dan juga hendaklah bermula dari awal muka surat tanpa melangkau-langkaukan bacaan kamu hinggalah tamat ke muka surat yang terakhir. Selain itu, kamu juga haruslah berdoa agar Allah menambahkan ilmu di dada kamu. Kamu hendaklah baca secara perlahan-lahan tanpa tergopoh-gapah. Kamu juga haruslah cuba memahami apa yang tertulis dengan mengharapkan pertolongan daripada Allah.
Al-Quran telah diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui jibril a.s. agar ianya disebarkan kepada seluruh manusia hinggalah ke akhir zaman. Nabi Muhammad merupakan nabi yang terakhir dan penutup segala nabi. Maka itu, tidak akan ada lagi nabi yang akan diutuskan kepada kita. Maka itu, melalui al-Quranlah kita akan mendapat segala jawapan bagi permasalahan kita baik bagi jin atau pun manusia. Al-Quran itu merupakan rahmat bagi seluruh alam.
Apakah al-Quran yang dalam bahasa Arab itu menjadi masalah kepada kita.Tidak! Sesungguhnya al-Quran telah dipermudahkan oleh Allah kepada kita dengan al-Quran yang diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa di dunia. Jika Nabi Muhammad s.a.w. yang berbangsa Arab diajar oleh Allah dalam bahasa Arab, maka saya pula yang berbangsa Melayu diajar oleh Allah dalam bahasa Melayu. Begitu pula dengan bangsa-bangsa yang lain dengan bahasa-bahasa mereka.
Justeru itu, bacalah al-Quran seolah-olah Allah sedang berkata-kata kepada kamu kerana bukankah ayat-ayat al-Quran itu merupakan kata-kata Allah. Adakah kamu mampu memberi alasan tidak tahu kerana al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab sedangkan terdapat pelbagai terjemahan untuknya dalam pelbagai bahasa.
Akhir kata, sekiranya kamu ikhlas, pasti kamu akan menemui apa yang telah aku lalui. Walau bagaimana pun, aku hanyalah berikhtiar namun yang menentukannya adalah Allah yang berkuasa ke atas segala sesuatu.Aku mengucapkan selamat pulang kepada saudara-saudaraku.Marilah bersama-sama denganku bersama-sama dengan Allah.

Penulis
Noor Azam bin Harun
019-4787567















AKU BERLINDUNG DENGAN ALLAH DARIPADA SYAITAN YANG DIREJAM
DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH DAN MAHA PENYAYANG
Surah Al-Fatihah
1.Segala puji bagi Allah, Tuhan yang mentadbirkan sekalian alam.
2.Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
3.Yang menguasai Hari Pembalasan.
4.Hanya kepada Engkau kami beribadah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan.
5.Bimbinglah kami ke jalan yang lurus.
6.Iaitu jalan orang yang Engkau telah anugerahkan nikmat kepada mereka.
7.Bukan jalan orang yang dimurkai dan bukan pula jalan orang yang sesat.
Surah Al-Ikhlas
1.Katakanlah bahawa Allah Tuhan yang Maha Esa.
2.Allah yang menjadi tumpuan seluruh makhluk untuk memohon sebarang hajat.
3.Dia tidak beranak dan Dia pula tidak diperanakkan.
4.Dan tidak ada sesuatu pun yang setara denganNya.
Surah Al-Falaq

1.Katakanlah aku berlindung dengan Tuhan yang menguasai waktu subuh.
2.Daripada kejahatan makhluk-makhluk yang diciptakanNya.
3.Dan daripada kejahatan malam apabila telah gelap-gelita.
4.Dan daripada kejahatan tukang sihir wanita yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan.
5.Dan daripada kejahatan orang yang dengki apabila dia berdengki.
Surah An-Nas

1.Katakanlah Aku berlindung kepada Pemelihara sekalian manusia.
2.Raja sekalian manusia.
3.Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia.
4.Daripada kejahatan syaitan yang biasa bersembunyi.
5.Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia.
6.Daripada kalangan jin dan manusia.
Surah Al-Lahab

1.Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa.
2.Hartanya dan segala yang diusahakannya tidak dapat menolongnya.
3.Dia akan masuk ke dalam api neraka yang marak menjulang.
4.Dan juga isterinya seorang perempuan pemunggah kayu api.
5.Di lehernya ada tali, daripada tali-tali yang dipintal daripada sabut.
Surah Al-Kauthar

1.Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu sebuah telaga di syurga.
2.Maka, dirikanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban.
3.Sesungguhnya orang yang membencimu, dialah yang terputus.
Surah Al-Ma’un
1.Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama?
2.Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak-anak yatim.
3.Dan dia tidak menggalakkan untuk memberi makananyang berhak diterima oleh orang miskin.
4.Maka kecelakaan besar bagi orang yang solat.
5.Mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya.
6.Orang yang berkeadaan riyak.
7.Dan orang yang tidak memberi walau sedikit pun pertolongan.
Surah Quraisy
1.Kerana kebiasaan kaum Quraisy.
2.Kebiasaan mereka berjalan pada musim sejuk dan pada musim panas.
3.Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah ini.
4.Dia yang memberi mereka makan daripada kelaparan;dan Dia mengamankan mereka daripada ketakutan.
Surah Al-Fil

1.Tidakkah engkau perhatikan bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepda angkatan tentera bergajah?
2.Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka itu sia-sia?
3.Dan Dia telah menghantarkan kepada mereka burung yang berkumpulan-kumpulan.
4.Yang melontar mereka dengan batu-batu jenis tanah yang dibakar keras.
5.Lalu Dia menjadikan mereka seperti daun yang dimakan.
Surah Al-Humazah
1.Kecelakaan besar bagi pengumpat lagi pengeji.
2.Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya.
3.Dia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya.
4.Sekali-kali tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam “al-Hutamah”.
5.Dan tahukah engkau akan apakah “al-Hutamah” itu?
6.Ialah api Allah yang dinyalakan.
7.Yang naik menjulang membakar sampai ke hati.
8.Sesungguhnya api neraka itu ditutup rapat di atas mereka.
9.Pada tiang-tiang yang melintang panjang.
Surah Al-‘Asr
1.Demi masa!
2.Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.
3.Melainkan orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.
Surah At-Takathur
1.Kalian telah dilalaikan oleh perlakuan bermegah-megah.
2.Sehingga kalian masuk ke liang kubur.
3.Jangan sekali-kali! Kelak kalian akan mengetahui.
4.Kemudian, jangan sekali-kali kelak kalian akan mengetahui.
5.Jangan sekali-kali,kalaulah kalian mengetahui dengan pengetahuan yang yakin.
6.Sesungguhnya kalian akan melihat neraka Jahim.
7.Kemudian, sesungguhnya kalian akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin.
8.Kemudian, sesungguhnya kalian akan ditanya tentang segala nikmat.
Surah Al-Qari’ah
1.Hari Kiamat.
2.Apakah dia hari Kiamat itu?
3.Dan tahukah engkau apakah hari Kiamat itu?
4.Pada hari itu, manusia seperti kupu-kupu yang terbang berkeliaran.
5.Dan gunung-ganang menjadi seperti bulu yang dihamburkan berterbangan.
6.Adapun orang yang berat timbangan amal baiknya.
7.Maka dia berada dalam kehidupan yang senang-lenang.
8.Sebaliknya orang yang ringan timbangan amal baiknya.
9.Maka tempat kembalinya ialah neraka “Hawiyah”.
10.Dan tahukah engkau apakah neraka “Hawiyah” itu?
11.Api yang panas membakar.
Surah Al-‘Adiyat
1.Demi yang berlari kencang termengah-mengah.
2.Lalu yang memercikkan api.
3.Lalu yang menyerang pada waktu Subuh.
4.Lalu menerbangkan debu.
5.Lalu menyerbu ke tengah-tengah kumpulan musuh.
6.Sesungguhnya manusia sangat ingkar kepada Tuhannya.
7.Dan sesungguhnya dia menyaksikan dengan jelas keingkarannya.
8.Dan sesungguhnya dia sangat cinta akan hartanya secara melampau.
9.Tidakkah dia mengetahui, apabila dibangkitkan apa yang ada di dalam kubur.
10.Dan didedahkan segala yang terpendam di dalam dada.
11.Sesungguhnya Tuhan mereka Maha Mengetahui dengan mendalam tentang mereka pada hari itu.
Surah Al-Qadr

1.Sesungguhnya Kami telah menurunkannya pada malam kemuliaan.
2.Dan apakah kamu mengetahui apakah malam kemuliaan itu?
3.Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.
4.Para malaikat dan roh turun dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan.
5.Sejahteralah malam itu hingga terbit fajar.
Surah Al-‘Alaq

1.Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.
2.Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah.
3.Bacalah dan Tuhanmu yang Maha Mulia.
4.Yang mengajar manusia melalui pena.
5.Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
6.Jangan sekali-kali! Sesungguhnya manusia itu benar-benar melampaui batas.
7.Kerana dia melihat dirinya serba cukup.
8.Sesungguhnya kepada Tuhanmulah tempat kembali.
9.Apakah kamu melihat orang yang melarang?
10.Seorang hamba apabila dia mengerjakan solat.
11.Bagaimanakah pendapatmu jika dia berada di atas jalan yang benar?
12.Atau dia menyuruh orang bertakwa?
13.Bagaimanakah pendapatmu jika dia mendustakannya dan dia berpaling ingkar?
14.Tidakkah dia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melihat?
15.Jangan sekali-kali! Demi sesungguhnya jika dia tidak berhenti, nescaya Kami akan menyentap ubun-ubunnya.
16.Iaitu ubun-ubun yang berdusta lagi bersalah.
17.Maka biarlah dia memanggil kumpulannya.
18.Kami pula akan memanggil malaikat Zabaniyah.
19.Jangan sekali-kali!Jangan kalian menurut kehendaknya dan sujudlah serta dampingkanlah dirimu dengan Allah.
Surah At-Tin
1.Demi buah tin dan buah zaitun.
2.Dan demi Bukit Tursina.
3.Dan demi kota yang aman ini.
4.Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.
5.Kemudian Kami kembalikannya ke tempat yang serendah-rendahnya.
6.Melainkan orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus.
7.Maka apakah yang menyebabkan engkau mendustakan pembalasan sesudah itu?
8.Bukankah Allah hakim yang seadil-adilnya?
Surah al-Inshirah

1.Bukankah Kami telah melapangkan bagimu dadamu?
2.Dan Kami telah menghilangkan bebanmu daripadamu.
3.Yang memberati tanggunganmu.
4.Dan Kami telah meninggikan bagimu sebutan namamu.
5.Maka itu, bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
6.Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
7.Apabila engkau telah selesai, maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha.
8.Dan hanya kepada Tuhanmu sahajalah hendaknya engkau berharap.
Surah Ad-Duha

1.Demi waktu Duha.
2.Demi malam apabila sunyi sepi.
3.Tuhanmu tidak meninggalkanmu dan Dia tidak benci.
4.Sesungguhnya kesudahan keadaanmu adalah lebih baik bagi kamu daripada permulaannya.
5.Sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu sehingga engkau redha.
6.Bukankah Dia mendapati engkau yatim piatu, lalu Dia memberikan perlindungan?
7.Dan Dia mendapati engkau mencari-cari, lalu Dia memberikan hidayah.
8.Dan Dia mendapati engkau kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan.
9.Adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya.
10.Dan kepada orang yang meminta maka janganlah engkau mengherdiknya.
11.Dan terhadap nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau menyebutnya-nyebutnya.
Surah al-Layl
1.Demi malam apabila ia menyelebungi segala-galanya.
2.Dan siang apabila terang-benderang.
3.Demi yang menciptakan lelaki dan perempuan, jantan dan betina.
4.Sesungguhnya usaha kamu adalah berbagai-bagai keadaannya.
5.Adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertakwa.
6.Dan dia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik.
7.Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan.
8.Sebaliknya orang yang bakhil dan berasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya.
9.Dan dia mendustakan perkara yang baik.
10.Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan.
11.Apakah pertolongan yang dapat diberi kepadanya oleh hartanya apabila dia telah terjerumus?
12.Sesungguhnya kewajipan Kamilah member petunjuk.
13.Dan sesungguhnya Kamilah yang menguasai alam akhirat dan alam dunia.
14.Maka Aku juga telah memberi peringatan kepadamu tentang api neraka yang marak menjulang.
15.Yang tidak akan menderita pembakarannya melainkan orang yang sungguh celaka.
16.Yang telah mendustakan dan berpaling ingkar.
17.Dan akan dijauhkan itu daripada orang yang benar-benar bertakwa.
18.Yang mendermakan hartanya dengan tujuan membersihkan dirinya dan harta bendanya.
19.Padahal dia menderma bukan kerana membalas budi sesiapa pun.
20.Hanyalah mengharapkan keredaan Tuhannya yang Maha Tinggi.
21.Dan demi sesungguhnya, dia tetap akan berpuas hati.
Surah as-Shams
1.Demi matahari dan sinar cahayanya pada waktu pagi.
2.Dan bulan apabila ia mengiringinya.
3.Dan siang apabila ia terang-benderang.
4.Dan malam apabila ia menyelebunginya.
5.Demi langit dan pembinaannya.
6.Demi bumi dan hamparannya.
7.Demi jiwa dan penyempurnaan.
8.Maka mengilhamkannya jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawanya kepada ketakwaan.
9.Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan jiwanya.
10.Dan sesungguhnya hampalah orang yang mengotorinya.
11.Kaum Thamud telah mendustakan dengan sebab perbuatan derhaka mereka yang melampaui batas.
12.Ketika bangkit orang yang sehabis-habis jahat antara mereka memimpin mereka.
13.Maka berkatalah Rasulullah kepada mereka,”Unta betina daripada Allah itu dan air minumnya”.
14.Lalu mereka mendustakan Rasul serta menyembelih unta itu.Dengan sebab dosa mereka, maka Tuhan menimpakan mereka dengan azab yang membinasakan serta Dia meratakan azab itu meliputi mereka.
15.Dan Allah tidak menghiraukan kesudahan yang sedemikian.
Surah al-Balad
1.Sungguh Aku bersumpah dengan kota ini.
2.Sedangkan engkau tinggal di kota ini.
3.Demi manusia yang melahirkan zuriat dan zuriat yang dilahirkannya.
4.Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran.
5.Apakah manusia yang demikian keadaannya menyangka bahawatidak ada sesiapa yang berkuasa ke atas dirinya?
6.Dia menyatakan,”Aku telah habiskan harta benda yang banyak”.
7.Adakah dia menyangka bahawa tidak ada seseorang pun yang melihatnya?
8.Bukankah Kami telah menjadikan baginya dua biji mata?
9.Dan lidah serta bibir.
10.Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan.
11.Maka mengapaa tidak dia menempuh masuk jalan mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan.
12.Dan apakah engkau mengetahui apakah amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu?
13.Membebaskan hamba abdi daripada perhambaan.
14.Atau memberi makan pada hari kelaparan.
15.Kepada anak yatim daripada kaum kerabat.
16.Atau kepada orang miskin yang terlantar di atas tanah.
17.Kemudian, orang yang beriman dan saling berpesan untuk bersabar dan saling berpesan untuk berkasih saying.
18.Merekalah golongan pihak kanan.
19.Dan orang-orang yang kafir ingkar akan ayat-ayat Kami, merekalah golongan pihak kiri.
20.Mereka ditimpakan neraka yang ditutup rapat.

[BAGI SURAH YANG SETERUSNYA BOLEHLAH BERTANYA KEPADA SAYA]